GEORGE TOWN, 24 Ogos -- Ukraine telah membuka pejabat konsul mereka di Pulau Pinang, iaitu yang pertama di luar Kuala Lumpur, bersempena sambutan kemerdekaan negara itu, hari ini.
Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata, pembukaan pejabat itu merupakan satu tanda komitmen kuat Ukraine dalam memperkukuhkan lagi hubungan baik dengan Malaysia terutamanya dalam hubungan perdagangan, pelaburan dan kebudayaan.
“Ekonomi kita secara amnya berkait dalam banyak perkara. Ukraine merupakan antara pengimport minyak kelapa sawit terbesar di Eropah.
“Kami kekal kukuh untuk memastikan pasaran kami bebas daripada apa-apa sekatan untuk komoditi ini. Tambahan pula, enam bulan pertama tahun 2020 menunjukkan eksport bijirin kami ke Malaysia meningkat empat kali ganda, bernilai hampir US$ 50 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang beliau lawati sejak menjadi Duta Besar di Malaysia, dan mendapati negeri ini mempunyai tarikan kuat dalam pelancongan dan perniagaan.
“Pulau Pinang menjadi bandar kedua paling ramai rakyat Ukraine tinggal di Malaysia selepas Kuala Lumpur, dan adalah bertepatan untuk kami membuka pejabat konsul di sini bagi, memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Nechytaylo menambah, pejabat Konsul Ukraine di Pulau Pinang akan diketuai Konsul Kehormat Datuk Seri Chuah Kim Seah.
Majlis pembukaan pejabat baru konsul itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy, Che Puan Besar Kedah Hajah Hamidah Hamidun, Konsul Kehormat Republik Poland Datuk Seri Suppiah Manikam dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng.
Sementara itu Chuah berkata, pelantikan beliau sebagai Konsul Kehormat Ukraine itu merupakan satu penghormatan dan pejabat konsul itu kini bersedia untuk memberikan khidmatnya kepada rakyat Ukraine dan juga tempatan.
Chuah yang merupakan seorang akauntan bertauliah dan rakan kongsi kanan di Chuah & Associaters Chartered Accountants berkata, ramai rakan perniagaannya yang telah menyatakan minat untuk melawat Ukraine, tetapi akibat COVID-19, misi itu telah ditangguhkan.
“Banyak syarikat Malaysia yang mahu meneroka pasaran Ukraine dan juga teknologi stem cell mereka,” katanya.
-- BERNAMA