Beliau berkata, proses kelulusan prosedur itu kini berada di peringkat akhir dan hanya menunggu kelulusan Kabinet.
“Rakyat Malaysia dijangka dapat menggunakan kemudahan tersebut untuk melancong ke Ukraine bermula pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bandar-bandar di Ukraine selamat untuk dikunjungi dan menawarkan destinasi pelancongan yang dapat menarik perhatian rakyat Malaysia.
“Destinasi pelancongan utama terletak jauh dari kawasan-kawasan yang terlibat dalam peperangan dengan Rusia.
“Antara tarikan pelancongan adalah bermain salji di kawasan pergunungan di timur Ukraine selain kawasan pantai yang cantik dan bersih,” katanya.
Nechytaylo berkata, ibu negara Ukraine, Kiev adalah antara bandar purba di dunia yang berusia 1,500 tahun dan mempunyai beberapa tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menarik untuk dilawati.
“Kadar jenayah di Ukraine juga adalah jauh lebih rendah berbanding bandar-bandar di Amerika Syarikat (AS) selain nilai perkhidmatan dan barangan di negara ini lebih baik berbanding dengan beberapa negara Eropah lain,” ujarnya.