• A-
    A+
  • Людям із порушенням зору
  • Українською
  • English
Інтерв'ю Посла України в Малайзії Олександра Нечитайла малайзійському виданню BH Online - "Tragedi MH17 tak jejas persahabatan" (малайською мовою)
Опубліковано 06 березня 2017 року о 08:49

Sempena 25 tahun hubungan diplomatik Ukraine-Malaysia: Pada kaca mata Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo, Malaysia bukan lagi bumi asing. Pernah berada di sini pada 2005 hingga 2009, sebagai kaunselor kedutaan, personaliti kelahiran Cherkasy, Ukraine ini mengakui perjalanan yang ditempuhi oleh kedua-dua negara yang bersahabat sejak lebih dua dekad lalu ini penuh suka duka.

Tanggal 3 Mac 2017, Malaysia dan Ukraine meraikan ulang tahun ke-25 jalinan hubungan diplomatiknya sejak dimeterai pada 1992. Wartawan BH Ahad, SUZAN AHMAD menemu bual wakil negara bekas Kesatuan Soviet itu untuk berkongsi sudut pandangan beliau.

S: Bagaimana anda menilai hubungan Malaysia-Ukraine sehingga ke hari ini?

J: Ukraine mencapai kemerdekaannya pada Disember 1991, 25 tahun lalu, Malaysia adalah antara negara paling awal mengiktiraf kemerdekaan kami sebagai negara yang berdaulat menerusi surat yang ditulis oleh Duta Malaysia ke Moscow. Pada 3 Mac 1992, Malaysia dan Ukraine secara rasminya menjalin hubungan diplomatik. Sepanjang tempoh itu, pelbagai pencapaian diplomatik, ekonomi dan sosial digapai termasuk kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Ukraine pada 2003. Saya beruntung, kerana ketika mula bertugas di sini, Presiden Petro Poroshenko buat pertama kali membuat kunjungan balas ke Malaysia tahun lalu. Ia boleh dikatakan satu pertemuan yang berjaya dari segi protokol. Wujud keserasian di antara kedua-dua pemimpin negara itu semasa perbincangan tertutup yang diadakan mencakupi pelbagai segmen.

S: Reaksi Poroshenko terhadap Malaysia selepas lawatan beliau?

J: Presiden menyaksikan pelbagai perkara menarik daripada perspektif yang berbeza sepanjang berada di sini. Beliau banyak bertanya mengenai ekonomi Malaysia termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta maklum balas masyarakat secara amnya terhadap pentadbiran negara. Saya menjelaskan, keadaan ekonomi di sini kurang memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya. Malah pertumbuhan KDNK hanya pada kadar 4 hingga 5 peratus. Sebelum ini ia pernah mencecah 7 peratus. Presiden agak terkejut kerana di Ukraine, mencapai satu digit saja dalam pertumbuhan KDNK sudah dikira sesuatu yang cukup baik. Poroshenko turut keliru apabila mendengar bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan kadar 6 peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerana di Ukraine, rakyat perlu membayar sehingga 20 peratus kadar cukai dan mereka tidak merungut.

S: Hubungan Malaysia-Ukraine beberapa kali teruji, bagaimana Ukraine melihat situasi ini?

J: Tidak dapat dinafikan persahabatan Malaysia-Ukraine beberapa kali teruji termasuk tragedi MH17 dan pencerobohan Russia di Crimea, timur Ukraine. Setakat ini saya agak berpuas hati dengan hasil siasatan pasukan penyiasat bersama dalam laporan awal pada 26 September lalu. Ia antara lain menyimpulkan bahawa peluru berpandu yang berasal dari Russia itu dilancarkan dari Ukraine sebelum seluruh sistem pelancar dibawa kembali ke Russia. Sejak awal lagi, kami menegaskan bahawa Ukraine bukan sebuah negara yang akan memiliki dan menggunakan senjata sedemikian ke atas sasaran awam. Benar persahabatan ini teruji dan terbukti ia tetap utuh menerusi kerjasama kukuh antara pihak berkuasa Malaysia dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami yakin hubungan ini menghala ke arah yang betul dan semakin meraih momentum hasil kunjungan Presiden Poroshenko tahun lalu.

S: Bagaimana dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara dan trend setakat ini?.

J: Beberapa draf perjanjian bersama Ukraine-Malaysia ditandatangani dan hanya menunggu masa sesuai untuk bertemu kembali, sekali gus cuba membawa masuk lebih banyak peluang perniagaan di sektor swasta dalam usaha menjalin kerjasama lebih proaktif antara Ukraine-Malaysia. Kami banyak mengimport minyak sawit dari Malaysia dan mengeksport minyak bunga matahari, rumpai, jagung serta beberapa produk pertanian lain. Tahun lalu kami meraih lebih daripada AS$300 juta (RM1.3 bilion) pulangan dagangan, menurun berbanding tahun sebelumnya ekoran kesuraman ekonomi dunia. Pun begitu, melihat ASEAN secara keseluruhannya, Malaysia masih menjadi antara rakan dagangan terpenting kami di rantau ini. Perhatian juga perlu diberikan kepada sektor pelancongan yang hanya menyaksikan kurang daripada 1,000 pelancong Malaysia masuk ke Ukraine tahun lalu berbanding lebih 10,000 pelancong Ukraine ke Malaysia.

S: Ukraine bakal menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-26 Ogos ini, apa halangan terbesar negara dalam mengekalkan kedaulatan itu?

J: Menjelang sambutan kemerdekaan Ukraine tahun ini, cabaran terbesar kami adalah untuk mengembalikan keamanan Ukraine seperti sedia kala. Memandangkan impak peperangan yang terlalu besar, kami berdepan dengan lebih sejuta pelarian. Ia beban yang cukup besar kepada ekonomi negara kerana kerajaan perlu menyediakan program penempatan semula yang menelan kos sangat tinggi. Apa yang positif mengenai perkembangan ini adalah oleh kerana Russia menyekat pasaran, ekonomi kami mula menjadi lebih pelbagai dan berdaya tahan. Kami mula mencari pasaran lain termasuk Malaysia. Hakikatnya, Ukraine tidak bersedia dari segi ketenteraan mahupun psikologi untuk berdepan pencerobohan Russia di Crimea pada 2014. Secara tradisi sejak zaman berzaman, rakyat Ukraine dan Russia hidup bersama dalam aman dan damai. Malah kemerdekaan kami juga dicapai tanpa sebarang pertumpahan darah. Bayangkan apabila unit tentera kami enggan melepaskan tembakan sebaik berdepan tentera Russia. Mereka jadi kaku, tidak percaya dan keliru. Inti pati utama untuk mencapai sebuah keamanan adalah pandangan politik yang kuat di kedua-dua belah pihak. Itu yang ingin kami capai dan kami sanggup berkompromi. Sehingga kini setiap hari ada saja yang terkorban di wilayah timur itu. Kita mampu menghentikannya, dengan membawa pertelagahan ini ke meja rundingan, cari jalan untuk kembali hidup bersama secara aman, ketepikan pandangan politik dan bersama meleraikannya.

 

 

BH Online,

Outdated Browser
Для комфортної роботи в Мережі потрібен сучасний браузер. Тут можна знайти останні версії.
Outdated Browser
Цей сайт призначений для комп'ютерів, але
ви можете вільно користуватися ним.
67.15%
людей використовує
цей браузер
Google Chrome
Доступно для
  • Windows
  • Mac OS
  • Linux
9.6%
людей використовує
цей браузер
Mozilla Firefox
Доступно для
  • Windows
  • Mac OS
  • Linux
4.5%
людей використовує
цей браузер
Microsoft Edge
Доступно для
  • Windows
  • Mac OS
3.15%
людей використовує
цей браузер
Доступно для
  • Windows
  • Mac OS
  • Linux