PUTRAJAYA: Kedutaan Ukraine di Malaysia menanam dua pokok di Taman Putra Perdana di sini, sempena sambutan 25 tahun hubungan diplomatik Ukraine-Malaysia dan hari kemerdekaan Ukraine ke-26 hari ini.
Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo, berkata Malaysia adalah rakan baik yang juga antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Ukraine sebagai negara berdaulat.
Sepanjang hubungan diplomatik berkenaan, katanya, pelbagai cabaran ditempuh bersama terutama ketika kejadian pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, tiga tahun lalu.
"Ikatan yang dibina sejak dua dekad lalu dilihat semakin erat dan kami menghargai segala jasa Malaysia sepanjang hubungan diplomatik ini terjalin.
"Sudah tentu kami tidak lepas tangan dalam hal membabitkan MH17, malah akan memastikan keadilan kepada waris penumpang yang terkorban akibat tragedi terbabit," katanya selepas majlis penanaman dua pokok sebagai simbolik hubungan dua hala Ukraine-Malaysia.
Turut hadir Setiausaha di Jabatan Hal Ehwal Dua Hala Eropah, Kementerian Luar, Kamsiah Kamaruddin.
Link: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/316872/ukraine-malaysia-rai-hubungan-suku-abad