Itulah antara pandangan ikhlas yang dilontarkan oleh Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo ketika ditemu bual Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nechytaylo menyatakan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia menjadikan negara ini selesa untuk didiami, mencari pekerjaan dan bercuti bersama-sama keluarga.
“Saya mula berkhidmat di Malaysia sejak Julai 2016 tetapi pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada 1998.
“Sejak itu, saya dan keluarga turut mempunyai banyak rakan dari kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berpendapat rakyat negara ini perlu bersyukur kerana terus diberi peluang untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Ia juga menunjukkan bahawa Malaysia masih kekal aman dan mampu membangun seiring dengan peredaran masa.
Katanya, pembangunan yang semakin pesat sejak kebelakangan ini menjadikan Malaysia antara negara Asia Tenggara paling ke depan, selain menjadi pilihan para pelabur untuk mengembangkan pelaburan mereka dalam pelbagai sektor.
Nechytaylo melahirkan harapan agar hubungan antara Malaysia dan Ukraine yang terjalin sejak 25 tahun lalu akan terus kukuh dan diperkasa bagi menfaat kedua-dua negara.
Beliau berkata, Ukraine yakin dengan kerajaan baharu Malaysia bahawa kerjasama antara kedua-dua negara akan terus berkembang.
“Pada 2003, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah melawat Ukraine dan menyaksikan beberapa kerjasama ditandatangani termasuk dalam sektor perdagangan, pertahanan dan pendidikan.
“Kini, Dr. Mahathir sekali lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan saya mewakili rakyat Ukraine berharap kerjasama yang dilakukan sebelum ini akan terus berkembang ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Ukraine semakin berkembang apabila tahun lalu, ia mencatat nilai kira-kira AS$330 juta (RM1.4 bilion), iaitu melebihi sasaran yang dijangkakan.
Bidang pendidikan juga merupakan salah satu sektor paling berpotensi untuk dikembangkan antara kedua-dua negara, selain pelancongan, kata Nechytaylo yang ingin melihat lebih ramai rakyat negara ini mengunjungi Ukraine pada masa akan datang.
Beliau berkata, Ukraine mempunyai kira-kira tujuh tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mampu menarik minat pelancong asing termasuk Malaysia.
Mengulas tentang kelebihan Malaysia berbanding negara lain, Nechytaylo mendedahkan bahawa negara ini mempunyai banyak kemudahan, infrastruktur, dan kemahiran bertaraf dunia.
Katanya, kelebihan tersebut mampu membawa Malaysia ke arah lebih maju, selain negara ini juga mencatatkan kos operasi yang lebih rendah berbanding negara serantau, sekali gus menjadi pilihan pelabur asing untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau menambah dasar kerajaan yang konsisten juga membuatkannya lebih optimistik tentang masa depan Malaysia.
Nechytaylo menjelaskan Malaysia kini semakin menjadi tumpuan dunia, terutamanya selepas peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.
Beliau berkata, perubahan luar jangkaan itu menjadi antara cabaran kerajaan baharu untuk memenuhi semua janji yang diberikan kepada rakyat.
“Pilihan raya umum yang lepas mencatat satu sejarah baharu dan saya yakin dengan kemampuan Dr. Mahathir yang pernah menerajui Malaysia sebelum ini bahawa negara ini mampu untuk terus membangun dengan pesat.
“Bagaimanapun, tempoh masa dan ruang perlu diberikan kepada kerajaan baharu untuk mendepani situasi politik semasa dan menunaikan semua janji mereka terhadap rakyat demi kesejahteraan bersama,” jelasnya.
Nechytaylo berkata, harapan rakyat Malaysia menjadi lebih tinggi selepas pilihan raya tersebut tetapi beliau yakin tentang keupayaaan untuk mewujudkan Malaysia baharu yang lebih berjaya di sebalik pelbagai cabaran yang ada.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memainkan peranan mereka membantu kerajaan memajukan negara ini.
Katanya, perkara sama pernah berlaku di Ukraine dan rakyatnya bersatu membantu kerajaan untuk meningkatkan ekonomi, sosial dan politik mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia terus kekal positif dan bersikap terbuka dalam memberi ruang kepada barisan kepemimpinan baharu menerajui negara ini.