PEMBUAT pesawat kargo, Antonov dari Ukraine ditawarkan untuk beroperasi dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Tawaran itu dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam pertemuan dengan Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo serta wakil syarikat Antonov di Pulau Pinang malam tadi.
Menurut catatan di laman Facebook Mukhriz Mahathir FC, Antonov adalah syarikat pembuatan pesawat yang ditubuhkan di Kiev sejak 1946 dengan kepakaran khusus dalam bidang pembinaan pesawat kargo.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Datuk Seri Jebasingam Issace John; dan Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Ir Annuar Saffar.
Pertemuan yang disusuli dengan jamuan malam itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhamad Mahazi Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Abdul Rahman Abdullah; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah, Dr Muhammad Mahadi Mohamad.
Terdahulu, Azmin yang membuat kenyataan menerusi Twitter menyifatkan pertemuan itu sebagai produktif ke arah membuka peluang dalam industri aeroangkasa di negeri tersebut.
Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut mengalu-alukan pelaburan asing dalam industri aeroangkasa sebagai pemangkin untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di samping terus mengembangkan keupayaan negara dalam MRO serta pembuatan komponen pesawat. -Bernama