UKRAINE bakal mengadakan Sidang Kemuncak Crimea pertama tahun ini, acara peringkat perdana yang akan menyaksikan pelancaran aktiviti rasmi Platform Crimea, kata Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo.
UKRAINE bakal mengadakan Sidang Kemuncak Crimea pertama tahun ini, acara peringkat perdana yang akan menyaksikan pelancaran aktiviti rasmi Platform Crimea, kata Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo.
Beliau berkata Sidang Kemuncak tersebut bermatlamat membentuk gabungan negara yang akan menyertai inisiatif Ukraine untuk membantu meningkatkan perhatian politik tertinggi dalam isu pendudukan Crimea dan akibatnya.
“Sidang Kemuncak Crimea pertama akan menjadi bahagian penting daripada pelbagai acara dan permulaan rasmi kepada kegiatan Platform Crimea,” katanya.
Nechytaylo berkata Ukraine melancarkan Platform Crimea pada Oktober lalu, inisiatif baharu bertujuan memusatkan perhatian masyarakat antarabangsa terhadap pencerobohan Crimea dan cabaran keselamatan yang semakin meningkat, selain mencegah pelanggaran hak asasi manusia dan melindungi mangsa pendudukan.
Nechytaylo berkata sebagai format perundingan dan koordinasi baharu, Platform ini dijangka dapat berfungsi di beberapa peringkat, termasuk peringkat politik tertinggi.
Duta itu turut menjelaskan mengenai resolusi yang diluluskan baru-baru ini.
Dalam Resolusi A / RES / 75/192, “Situasi hak asasi manusia di Republik Autonomi Crimea dan kota Sevastopol, Ukraine’, yang diluluskan pada 16 Disember 2020, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) prihatin terhadap situasi semasa dan mengutuk “semua percubaan oleh Persekutuan Rusia untuk mengesahkan atau menormalkan usaha pemilikan paksa Crimea”, serta “pelanggaran, penyalahgunaan, tindakan dan amalan diskriminasi terhadap penduduk Crimea yang ditempatkan sementara, termasuk Tatar Crimea”.
Ketika ini, masyarakat antarabangsa, termasuk negara Asean, tidak mengiktiraf pendudukan Crimea pada 2014, katanya. – Bernama, 11 Januari, 2021.