KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan diterangi cahaya biru dan kuning - warna bendera kebangsaan Ukraine - pada Isnin sempena meraikan Hari Kemerdekaan Ukraine ke-29.
Kedutaan Besar Ukraine di Malaysia, dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata acara itu adalah sebahagian daripada acara sambutan termasuk program dalam talian, yang dirancang di seluruh dunia untuk menyambut peristiwa itu.
"Disebabkan COVID-19, kita tidak dapat mengadakan sambutan seperti biasa yang melibatkan perhimpunan besar-besaran. Itulah sebabnya kami mencari kaedah baharu yang kreatif untuk meraikan hari ini. Kami akan melancarkan pelbagai acara dalam talian dan menjemput semua orang di seluruh dunia untuk menyertai kami.
"Kami sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan Menara KL yang telah membantu menyambut Hari Kemerdekaan kami dengan cara yang unik," kata kenyataan itu.
Pada malam Ahad, Menara KL juga dinyalakan dengan warna biru dan kuning sebagai menyambut Hari Bendera Kebangsaan Ukraine.
Ukraine mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan Soviet pada 24 Ogos 1991.